Mulai tahun depan, kemasukan pelajar Tingkatan Satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan dinilai hanya 40 peratus dari segi akademik, demikian menurut Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir berkata penilaian selebihnya akan dibuat menerusi kokurikulum dan disiplin pelajar.

"Kemasukan ke SBP tidak bergantung sepenuhnya kepada tahap akademik semata-mata, namun, penilaian markah itu diberi oleh pihak sekolah berdasarkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

"Ramai juga yang prejudis tentang sistem itu, namun, kita meletakkan kepercayaan kepada guru dalam usaha untuk mencapai ketamadunan bangsa dan negara," katanya semasa berucap pada sesi diskusi Kluster Pendidikan di Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah (K-PAU) 2.0 di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh turut dijemput menjadi speaker bagi sesi diskusi Pendidikan.

Konvensyen itu akan memperhalusi 691 usul Perhimpunan Agung UMNO tahun ini yang telah dibincang dan dipersetujui di pelbagai peringkat parti itu sebelum ini.

Mengulas satu soalan peserta yang ingin tahu mengenai gesaan MCA yang mencadangkan supaya bajet tahunan diberikan secara mandatori kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK (C), Mahdzir berkata peruntukan kerajaan diberikan secara menyeluruh kepada semua sekolah.

"Saya nak maklumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) beri peruntukan di bawah pakej rangsangan kepada semua sekolah, dia bagi SRJK (C), SRJK (T), Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Agama, Sekolah Mubaligh dan sekolah Kebangsaan...terserah kepada kementerian untuk menjajarkan," katanya.

Dalam pada itu, Idris ketika ditemui pemberita berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak universiti untuk mengambil tindakan terhadap pelajar universiti yang menyertai perhimpunan jalanan Bersih 5 semalam.

"Semua universiti sudah diberi autonomi, jadi mereka akan pastikan bagaimanan imej mereka tidak tercalar," katanya.

Terdahulu, semasa sesi diskusi, Idris turut berkongsi video animasi pendek 'Firdaus 2050' yang dihasilkan Universiti Teknologi Mara (UiTM), hasil cetusan ideanya sendiri, mengenai aspirasi kerajaan terhadap generasi baharu di bawah Transformasi Nasional 2050.

Katanya, ia berkisar kepada pembangunan modal insan yang akan dibentuk dalam tempoh 30 tahun akan datang, dengan harapan ia akan membentuk bangsa Melayu sebagai satu bangsa hebat, bermaruah dan berkat. -- Bernama