Hanya 500 pemandu teksi di seluruh negara berdaftar di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang dilancarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak ia dikuatkuasakan 1 Jun lepas.

Jumlah itu jauh berbeza dengan angka sebenar pemandu teksi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) iaitu seramai 83,662 orang termasuk pemandu Uber dan Grab.

Timbalan Pengarah Perkeso Johor Jamalludin Mohammad berkata skim ini menyediakan pelbagai manfaat antaranya faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, faedah pendidikan dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional, jika pencarumnya ditimpa kemalangan.

"Jadi, kita mahu lebih ramai pemandu sedar akan kepentingan skim ini. Pada masa sama, kita bersedia turun padang untuk membuat bengkel dan taklimat bersama mana-mana persatuan dan syarikat perkhidmatan teksi bagi menguar-uarkannya," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program taklimat skim itu di sini, hari ini.

Menurut Jamalludin, mereka yang berdaftar hanya perlu mencarum sebanyak 1.25 peratus daripada pendapatan bulanan mereka kepada skim itu.

"Ini bermaksud kadar bayaran caruman setahun yang perlu dibuat kepada Perkeso adalah antara RM157.20 (RM13.10 sebulan) hingga RM592 (RM49.40 sebulan) bergantung kepada pendapatan yang diinsuranskan.

"Sehingga kini kami tidak menetapkan tarikh tutup pendaftaran bagi skim ini tetapi sekiranya mereka gagal mendaftar, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.

Pemandu yang berminat boleh membuat pendaftaran dalam talian di laman web Perkeso, www.perkeso.gov.my.

-- BERNAMA