Kerajaan memutuskan semua Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat, koperasi dan persatuan perlu ditangguhkan sehingga suatu tempoh dibenarkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi mengelakkan aktiviti perkumpulan dan sekali gus mengekang penularan COVID-19.

"Sekarang ini bulan April, nanti bulan Mei dan Jun mungkin akan ada banyak AGM yang akan dilakukan syarikat, koperasi, persatuan dan sebagainya akan adakan AGM.

"Mesyuarat pagi ini telah memutuskan bahawa semua syarikat koperasi, persatuan, pertubuhan, supaya menangguhkan AGM mereka sehingga tarikh yang ditetapkan dan dinasihatkan KKM," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun beliau berkata, hanya AGM dalam talian termasuk sidang video dibenarkan buat masa sekarang.

"Namun jika ada nak teruskan mereka dibenarkan buat secara dalam talian, video conference dan sebagainya bagi mengelak perkumpulan yang ramai utk AGM. Saya harap semua menangguhkannya sehingga tarikh dimaklumkan kerajaan," ujarnya.