Hanya BN mampu jamin untung nasib Bumiputera, Felda - PM Najib

Hanya BN mampu jamin untung nasib Bumiputera, Felda - PM Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika hadir pada Majlis Penyampaian Dividen Risda Peringkat Nasional 2018 di Kampung Peragap, Temerloh, hari ini. --fotoBERNAMA
MARAN: Tidak ada pihak lain yang mampu menjamin masa depan Bumiputera dan masyarakat luar bandar termasuk peneroka Felda kecuali kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah berbuat demikian sejak sekian lama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pembangkang, yang kerap menimbulkan isu-isu tertentu bagi mengeliru dan menimbulkan kemarahan masyarakat itu terhadap kerajaan, tidak berupaya melakukan apa yang telah dilaksanakan BN.

"Tiada orang yang akan bela masyarakat luar bandar, perkara itu tidak ada dalam manifesto mereka. Saya tengok manifesto pembangkang sebut tentang Bumiputera di nombor 30, bukan nombor 1 bukan nombor 5, bukan nombor 10, bukan nombor 20 tetapi nombor 30.

"Manifesto mereka juga tidak ada sebut dengan jelas pembangunan luar bandar, tidak ada sebut dengan jelas mengenai pembangunan Felda," katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama warga peneroka Felda dalam Dewan Undangan Negeri Jengka di Felda Jengka 11, Bandar Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Beliau berkata usaha kerajaan membangunkan agenda Bumiputera dan Felda telah melalui pelbagai detik dan era sejak ia ditubuhkan oleh ayahandanya yang juga bekas perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein lebih 50 tahun lepas.

Najib berkata Abdul Razak yang memulakan idea tanah rancangan itu dengan membuka banyak kawasan tanah baharu untuk dibangunkan dan sejak itu, Felda melalui banyak perubahan sehingga ke hari ini yang memberi manfaat kepada para penerokanya.
Perdana Menteri berkata kini, tanah-tanah rancangan tersebut akan menerima lebih banyak manfaat hasil pembangunan negara di bawah pentadbirannya seperti pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan Lembah Klang dengan negeri-negeri di pantai timur.

"Walaupun laluan ECRL tidak melalui Felda Jengka tetapi ia akan melalui kawasan sekitar seperti Mentakab dan Temerloh sehingga ke Kuantan. Maknanya, nanti bila projek itu siap, kadar pertumbuhan di Pahang akan bertambah sebanyak 1.5 peratus lagi.

"Dengan adanya kereta api Pantai Timur ini, anak-anak kita akan dapat peluang pekerjaan. Kontraktor-kontraktor akan mendapat peluang pekerjaan, peniaga mendapat manfaat dan nilai tanah pun akan meningkat dengan ketara sebab akan ada orang membeli rumah di Mentakab dan Bandar Tun Razak tetapi bekerja di Lembah Klang. Inilah wawasan yang ada pada kita," kata beliau.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata ada pihak yang tidak mempercayai perkara itu termasuk seorang pemimpin berusia 93 tahun, yang dalam satu ucapannya pernah menyatakan untuk membatalkan projek tersebut jika pembangkang mengambil alih kerajaan.

Najib berkata jika projek ECRL dibatalkan, ia secara keseluruhan merugikan rakyat Pahang dan mungkin menimbulkan kemarahan kerajaan China yang turut terlibat dalam pembinaan projek itu.

"Kalau China marah kepada kita, jika mereka tidak beli minyak sawit kita, pada siapa kita nak jual minyak sawit kita? Bila harga sawit jatuh dengan ketara disebabkan perkara itu. siapa yang akan merana?

"Jangan percaya pembangkang ini. Mereka banyak tipu seperti berlaku di Selangor di mana pemimpin dapat undi, rakyat dapat baldi kerana masalah air," kata beliau sambil disambut tepukan orang ramai.

Dalam ucapannya, perdana menteri turut mengumumkan beberapa perkara yang memberi manfaat kepada peneroka Felda termasuk pemberhentian sementara pemotongan Wang Tahanan para peneroka Felda sehingga Aidilfitri ini.

Kerajaan juga akan membina sebanyak 666 unit lot rumah untuk generasi kedua Felda di kawasan Parlimen Kuala Krau dan peruntukan RM10 juta untuk menaik taraf Hospital Jengka.

"Kerajaan akan menaik taraf jalan Persekutuan dari Bandar Pusat Jengka ke Felda Jengka 8, dari Simpang Jengka 18 ke Simpang Jengka 21 dan dari simpang Jengka 12 ke ke Jambatan Kuala Krau." kata perdana menteri.

Najib turut mengumumkan bahawa beliau bersetuju mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Jengka, yang akan diwujudkan di bangunan Warisan Jengka Holdings, kerana mengambil kira kepayahan rakyat yang terpaksa berulang alik ke Maran untuk urusan berkaitan kerajaan.

Felda Jengka 11 terletak berhampiran Bandar Tun Abdul Razak, yang dahulunya dikenali sebagai Bandar Pusat Jengka dan dinamakan sempena Abdul Razak yang mengasaskan Felda.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

-- BERNAMA