Kerajaan akan memutuskan sama ada Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Expressway Berhad akan dijual atau sebaliknya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Khazanah adalah milik kerajaan dan kata putus akhir adalah dari kerajaan. Kita mahu lihat tawaran mana yang terbaik.

“Jika Khazanah mampu urus dan selesaikan hutang, ia bagus, namun jika ada pihak lain yang tawar untuk ambil alih hutang, ia sesuatu yang baik bagi kerajaan," katanya kepada sidang media di Bangkok, Thailand hari ini.

Dr Mahathir berkata kerajaan akan berunding dengan Khazanah berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Redza Redzuan bertegas Khazanah tidak akan melepaskan pegangannya dalam PLUS.

Khazanah memegang 51 peratus kepentingan dalam PLUS dan sudah menerima beberapa bidaan untuk mengambil alih kepentingan Khazanah.

Antara syarikat yang berminat untuk membeli PLUS termasuk konglomerat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu, Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) pada nilai RM5.3 bilion.

Sementara kumpulan ekuiti swasta, RRJ Capital turut berhajat membeli kepentingan tersebut pada nilai RM3 bilion dan menyasarkan untung memotong kadar tol sebanyak 20 peratus.