Pihak polis tidak pernah meletakkan diri mereka dikecualikan daripada mana-mana tindakan undang-undang kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

Tegas beliau, pihak polis bukan sahaja bertindak sebagai penguatkuasa undang-undang namun pihak mereka juga termaktub kepada undang-undang seperti rakyat Malaysia yang lain.

“Kami tidak menafikan kewujudan 'kambing hitam' yang melanggar undang-undang namun mereka hanyalah satu kumpulan kecil dalam pasukan polis dan kumpulan ini tidak boleh dikatakan atau disebut sebagai satu ‘institusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dalam satu forum ‘Rogue Cops: Workable Solutions - Police Accountability In Malaysia’, minggu lepas.

Menurut Khalid, Tun Mohamed dikatakan mengkritik PDRM dengan mengatakan pihak polis membiarkan sahaja penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam kakitangan polis sendiri.

“Tun berkata polis membiarkan penyalahgunaan kuasa yang berlaku di kalangan anggota polis atau dengan ayatnya Tun menyebut polis membiarkan sahaja kekerasan yang berlaku di kalangan kakitangannya dengan mengamalkan ‘blue wall of silence’.

“Dakwaannya yang mengatakan polis mengamalkan peraturan tidak bertulis ‘blue wall of silence’ (tidak melaporkan kesalahan, salah laku, atau jenayah rakan sekerja) untuk melindungi pegawai polis adalah satu perkara yang tidak masuk akal.
Dakwaan Tun Mohamed Dzaiddin yang menyatakan polis mengamalkan peraturan tidak bertulis ‘blue wall of silence’ untuk melindungi pegawai polis adalah satu perkara yang tidak masuk akal.


“Polis telah pun mengambil inisiatif dengan mewujudkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard bagi membuat pemantauan ketat terhadap cara penstrukturan polis atau sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai polis, " jelas beliau.

Menurut Khalid lagi, Tun Mohamed juga mengatakan sikap polis ketika ini terhadap kedaulatan undang-undang adalah seperti acuh tak acuh,dan tidak menghormati hak-hak asasi manusia.

"Beliau berkata demikian disebabkan kurangnya penekanan terhadap menghormati kedaulatan undang-undang dan keluhuran hak asasi manusia ketika di peringkat latihan.

"Kami mahu beliau dan mereka yang berfikiran sama sepertinya untuk mengetahui bahawa modul latihan kami ada memperuntukan pemahaman asas hak asasi manusia dan hak-hak asas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," tambah beliau dalam kenyataan yang sama.