Hanya kerana gagal mendapatkan wang RM30, seorang lelaki tergamak mengugut mahu menikam ibu kandung dan membunuh ahli keluarganya di Chabang Tiga, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, suspek, 27, dikatakan ada menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada ibunya, 56, yang dia mahukan RM30 tetapi tidak diendah.

Menurut sumber, bengang mesejnya tidak dilayan, kemudian suspek menghantar mesej ugutan mahu menikam mangsa sekiranya enggan menunaikan permintaan itu.

"Suspek dikatakan mula mengamuk selepas mesejnya tidak dihiraukan sebelum menghantar mesej mahu menikam mangsa.

"Tidak cukup itu suspek juga meminta wanita itu menyediakan wang RM1,000 dan mengugut akan memotong leher setiap ahli keluarga sekiranya gagal memberikan wang diminta," katanya.

Bimbang kejadian buruk berlaku, mangsa kemudian segera membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga di sini, sebelum suspek balik.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.