Kerajaan tiada perancangan untuk mengurangkan saiz perkhidmatan awam negara, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui kerajaan ada kemungkinan akan mengurangkan kadar pengambilan untuk penjawat awam.

Entulu berkata, tiada program khusus yang dijalankan oleh kerajaan bagi mengurangkan saiz penjawat awam ketika ini.

"Pegawai-pegawai kita sebenarnya banyak hari tidak mempunyai rehat. Ada yang terpaksa bertugas pada hari minggu.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan masih kekurangan kakitangan di sesetengah jabatan dan bukan 'terlalu ramai' seperti yang dituduh sesetengah pihak," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR - Lembah Pantai) berhubung pembekuan pengambilan penjawat awam, di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, kerajaan bersedia untuk bukan sahaja mengekalkan saiz penjawat awam negara, malah menambah bilangan mereka.

Ini kerana, menurut beliau, kerajaan menganggap penjawat awam sebagai tulang belakang negara.