Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegaskan hanya mahkamah mempunyai kuasa menentukan sama ada tiga bekas menteri kanan didapati melanggari Akta Hasutan atau Akta Rahsia Rasmi (OSA) ketika berucap di dalam Dewan Rakyat.

Pandikar Amin berkata Dewan Rakyat menghormati imuniti dan hak Anggota Parlimen untuk berhujah, namun pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menyekat pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap wakil rakyat, sekiranya disyaki hujahan mereka melanggar akta-akta tertentu.

"Dalam soal ini, Yang Berhormat Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Semporna (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Tambun (Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah) ada berhujah, mereka bukan dihalang untuk tidak berhujah, tetapi ada mereka di luar sana mungkin merasakan bahawa hujah itu melanggar akta sama ada Akta Hasutan ataupun OSA.

"Jadi, pihak polis memanggil Yang Berhormat berkenaan untuk diambil keterangan, saya fikir keterangan itu nanti akan diserahkan kepada pihak berkuasa yang lain iaitu Jabatan Peguam Negara (AG) untuk menimbang sama ada keterangan yang diambil itu melanggar apa sahaja akta.

"Kalau itu pertimbangan AG, maka AG akan mengambil tindakan untuk diangkat ke mahkamah dan mahkamah akan mempertimbangkan sama ada apa yang dihujah tiga ahli Yang Berhormat itu melanggar mana-mana akta," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Mohamed Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) sebaik sesi soal jawab berakhir mengenai imuniti Anggota Parlimen yang berhujah di Dewan Rakyat sambil memohon Yang Dipertua Dewan Rakyat menulis surat kepada Ketua Polis Negara supaya tidak menyiasat Anggota Parlimen kecuali mereka membuat kenyataan menghasut.

Pandikar Amin menjelaskan beliau dan timbalannya hanya mempunyai kuasa dalam menentukan kelancaran persidangan Dewan Rakyat selain memastikan peraturan mesyuarat dipatuhi.

"Kalau Yang Berhormat yang lain sependapat dengan Sepang bahawa yang berhujah dalam Parlimen mempunyai kekebalan yang perlu kita pertahankan, biarlah mahkamah yang buat pengumuman, itu bukan tugas saya sebagai Speaker.

"Kalau difikirkan tidak ada kesalahan di bawah Artikel 63 Perlembagaan Persekutuan (Keistimewaan Parlimen) maka apa yang perlu dikhuatirkan?" katanya.

Pada 4 Nov lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tiga bekas anggota Kabinet itu disyaki membocorkan rahsia kerajaan termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat dan mereka akan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Ketiga-tiga bekas anggota Kabinet itu didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat. - Bernama