Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kuasa meluluskan sejumlah RM19.25 bilion tidak dipindahkan ke dalam Tabung Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Katanya jika Najib, yang juga menteri kewangan pada ketika itu, tidak memberi kelulusan agar sejumlah wang itu tidak dipindahkan ke dalam Tabung Bayaran Balik GST, maka bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang akan dipertanggungjawabkan menanggung segala kesalahan.

"Bukan sahaja kesalahan jenayah pecah amanah tetapi juga menyalahgunakan atau melebihi kuasanya dengan mengambil kuasa seorang menteri.

"Ini kerana hanya menteri kewangan mempunyai kuasa untuk meluluskan arahan supaya RM19.25 bilion tidak dipindahkan ke dalam Tabung Bayaran Balik GST ataupun bayaran balik GST tidak dibuat dalam masa dua minggu seperti ditetapkan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kenyataan Menteri Kewangan itu adalah reaksi terhadap jawapan Najib. pada Sabtu, yang menyatakan 'tiada' kepada tiga soalan yang diajukan Lim berhubung kehilangan RM19.25 bilion dalam tuntutan bayaran balik GST.

Soalan pertama, adakah Najib meluluskan keputusan supaya pembayaran balik GST tidak dibuat dalam masa dua minggu seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang?

Kedua, adakah Najib meluluskan keputusan yang dibuat oleh Irwan untuk tidak memindahkan keseluruhan jumlah RM82.9 bilion seperti yang diminta oleh Jabatan Kastam tetapi hanya memindahkan RM63.5 bilion sejak 2015 yakni kekurangan pemindahan dana lebih daripada RM19.25 bilion kepada Tabung Bayaran Balik GST?

Ketiga, adakah Najib memberi kelulusan supaya jumlah pembayaran balik GST yang tidak dikembalikan sejak 2015 dianggap sebagai hasil pendapatan kerajaan untuk digunakan secara sesuka hati?

Menyatakan bahawa polis sedang menjalankan siasatan jenayah ke atas masalah kehilangan wang bayaran balik GST mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Lim mempersoal adakah Najib akan memberikan jawapan yang sama apabila keterangan diambil polis nanti?

Guan Eng yang turut merujuk isu RM16 bilion, wang yang tidak dipindahkan kepada Tabung Bayaran Balik Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri juga mempersoal adakah Najib juga akan mendakwa beliau tidak tahu atau tidak terlibat dalam keputusan itu dan semuanya diputuskan Mohd Irwan Serigar tanpa pengetahuan Menteri Kewangan ketika itu?

-- BERNAMA