Sistem kutipan cukai di Malaysia adalah berdasarkan premis mudah bahawa jika individu atau syarikat memperoleh pendapatan dari Malaysia, pendapatan yang diterima akan dikenakan cukai pendapatan Malaysia, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sementara itu, pendapatan yang diperoleh dari luar Malaysia dan dihantar ke Malaysia akan dikecualikan daripada cukai, katanya, sambil menambah bahawa ini merangkumi semua individu atau syarikat tanpa pengecualian.

"Adalah penting bagi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menentukan sama ada pendapatan itu diperoleh dari Malaysia sebelum pendapatan individu atau syarikat tersebut tertakluk kepada cukai Malaysia," kata Johari dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu adalah untuk menjelaskan lebih lanjut jawapannya kepada Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, yang baru-baru ini menyoal mengenai fail cukai Reza Aziz dan Jho Low dan mengapa mereka tidak membayar cukai di Malaysia.

"Penemuan awal LHDN telah menunjukkan bahawa kedua-dua individu, yang menjadi subjek pertanyaan oleh Ahli Parlimen pembangkang di Parlimen, tidak mempunyai pendapatan yang berasal dari Malaysia pada beberapa tahun kebelakangan dan tidak ada rekod bahawa mereka telah dikenakan pendapatan yang diperoleh dari luar negara dan dibawa ke Malaysia yang boleh dikenakan cukai.

"Malah jika mereka membawa pendapatan mereka yang berasal dari luar negara ke Malaysia, ini akan dikecualikan daripada cukai pendapatan," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, jika kemudiannya pendapatan mereka didapati memang tertakluk kepada cukai Malaysia, LHDN mempunyai kuasa menaikkan taksiran terhadap mereka dalam tempoh lima tahun atau pada bila-bila masa jika penipuan atau kecuaian dapat dibuktikan.

Malaysia telah mengguna pakai sistem penaksiran sendiri, di mana individu atau syarikat dikehendaki menentu dan mengira pendapatan yang boleh dikenakan cukai serta liabiliti cukai mereka.

Kadar cukai yang dikenakan diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan perubahan pada kadar boleh dibuat dan diumumkan semasa belanjawan tahunan negara. Di bawah sistem penaksiran sendiri, seseorang pembayar cukai akan diaudit atas apa-apa pengisytiharan pendapatan yang dibuat.

Dalam kes di mana seseorang gagal membuat sebarang perisytiharan, LHDN mempunyai pasukan berdedikasi untuk menganalisis dan mengenal pasti secara berterusan, kata Johari sambil menambah bahawa LHDN akan mengenakan penalti berat selepas mengetahui bahawa cukai itu perlu dibayar.

"Bukanlah amalan LHDN untuk mengenakan cukai ke atas mana-mana individu atau syarikat berdasarkan anggapan kekayaan atau khabar angin mengenai pendapatan. LHDN sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugasnya mengikut undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya.

-- Bernama