Kerajaan Sabah mendakwa syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) belum membayar cukai lima peritus kepada setiap hasil jualan ke atas syarikat cari gali minyak yang beroperasi di negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bagaimanapun, pihaknya sedang berunding syarikat minyak negara berhubung bayaran cukai tersebut.

“Kita tengah berunding dengan mereka (Petronas).. begitu juga Sarawak. Malah saya sudah menghantar surat kepada mereka untuk maklumat terperinci.

“Jika mereka mahu rundingan kita akan berunding. Cuma apa yang boleh saya beritahu, kita sudah menerima bayaran lima peratus daripada syarikat yang lain,” katanya.

Kesemua syarikat yang melakukan cari gali minyak di Sabah perlu membayar cukai mengikut Seksyen 10 (10) Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998.

Jika gagal membayar, ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 31 Enakmen sama.

Antara syarikat cari gali minyak yang beroperasi di Sabah ialah Petronas Carigali Sdn. Bhd; Hibiscus Petroleum Bhd, Repsol Oil and Gas Malaysia Limited, PTTEP Sabah Oil Limited, dan Sabah Shell Petroleum Company.