Sarawak tidak mencatatkan sebarang pertambahan kes positif baharu bagi pandemik COVID-19 pada Khamis.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, jumlah keseluruhan kes setakat ini kekal dengan jumlah 678 kes.

Berikut merupakan lima tumpuan hari ini:

1. JPBNS telah memutuskan setiap warganegara sama ada dari Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang hendak memasuki Sarawak, mereka tidak perlu lagi mengisi borang EnterSarawak. Namun, Borang Pengisytiharan Kesihatan (E-Health Declaration Form) perlu diisi.

2. Borang EnterSarawak dan Borang Pengisytiharan Kesihatan juga wajib diisi oleh warga asing dan warganegara Malaysia yang tiba atau melalui transit dari luar negara.

3. Berkenaan garis panduan pengoperasian pusat hiburan, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak melalui JPBNS hanya membenarkan pusat karaoke berbilik sahaja untuk beroperasi. Pusat karaoke terbuka pula tidak dibenarkan. Arahan ini berkuatkuasa bermula 15 Ogos 2020.



4. Sementara itu, 10 kluster dilaporkan masih lagi aktif di Sarawak. Kluster-kluster tersebut adalah Kluster Syarikat Kejuruteraan, Kluster Mambong, Kluster Pusat Perubatan, Kluster Jupiter, Kluster Pasar Stutong, Kluster Jeti Kuching, Kluster Sentosa, Kluster PUI Melbourne, Kluster Syarikat Pembinaan Kuching dan Kluster Pasar Satok.
5. Terdapat pertambahan 33 kes Person Under Investigation (PUI) baharu. Empat individu dilaporkan telah pulih dan discaj dari Hospital Umum Sarawak.