Pengguna diingatkan hanya roti putih biasa dan roti 'wholemeal' yang dikecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Produk-produk berasaskan roti selain dua produk tersebut tidak terlepas dari GST," kata Pengarah GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy.

Tambah beliau, GST tidak boleh dikecualikan terhadap semua produk roti kerana tujuan utama kerajaan mengenakan pengecualian hanya bagi barangan asas.

"Oleh itu, hanya dua produk ini yang mendapat pengecualian," jelas Subromaniam ketika sidang media di Putrajaya petang tadi.

BACA: Perspektif penuh mengenai GST

Subromaniam diminta mengulas aduan pengguna bahawa terdapat produk roti yang dikenakan GST.

Namun, beliau menegaskan hanya dua jenis produk yang terkecuali cukai tersebut.

Walau bagaimanapun, pengguna boleh membuat aduan sekiranya terdapat kenaikan harga yang mencurigakan bagi kedua-dua produk roti yang sudah dikecualikan GST.