Sejumlah 117 daripada 200 Institut Memandu di seluruh negara hanya mencapai taraf dua dan satu bintang, ujar Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad.

Bagaimanapun, sembilan institut memandu memperoleh lima bintang dan sebuah lagi mendapat empat bintang.

"Hasil analisis, hanya sembilan buah Institut Memandu memperoleh lima bintang. Sebuah institut memperoleh empat bintang dan 16 buah institut memandu memperolehi tiga bintang, yang lain-lain daripada 171 tadi memperoleh dua bintang ke bawah," katanya semasa berucap pada Seminar Tadbir Urus Korporat dan Majlis Penganugerahan Kecemerlangan Institut Memandu 2016 di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, walaupun keputusan penarafan itu mungkin tidak memberi khabar gembira kepada institusi memandu, namun dengan inisiatif berkenaan ia diharap mampu memberikan semangat untuk mereka terus melakukan penambahbaikan.

"Sebenarnya institut memandu yang mendapat dua bintang itu sebab mereka tidak mendapat pengiktirafan ISO, maka kita yakin kalau mereka dapat penggredan itu pada 2016 banyak lagi kalangan mereka akan mendapat lima bintang," ujar Ismail.

Bersifat global

Tambahnya, penilaian lima bintang melalui ISO 9001: 2008 sebagai salah satu tanda aras yang bersifat global dalam tadbir urus yang berstruktur.

Selain itu, empat kriteria dalam memperoleh penarafan lima bintang ialah merangkumi aspek pengurusan, pelajar dan pelaksanaan kurikulum, pengajar dan staf pentadbiran dan kemudahan.

"Dalam tempoh pemerhatian juga, institut memandu yang mendapat tempoh pembaharuan lebih daripada setahun adalah tidak mencapai hampir semua objektif bagi kriteria wajib yang meliputi empat seksyen utama," katanya lagi.

Penarafan lima bintang perlu memperoleh markah keseluruhan melebihi 90 peratus, empat bintang (81 hingga 89 peratus), tiga bintang (76 hingga 80 peratus), dua bintang (70 hingga 75 peratus) dan satu bintang (bawah 69 peratus).

Justeru katanya, JPJ akan sentiasa melakukan pemantauan institut memandu dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan penambahbaikan dilakukan.

Tambahnya, institut memandu yang memperoleh dua bintang dan ke bawah juga diberi amaran untuk mengambil tindakan menambah baik dengan segera bagi membuktikan mereka berkelayakan untuk menjalankan latihan memandu berhemah.

"Jika penilaian pada tahun seterusnya masih tidak mencapai tiga bintang dan ke atas, maka kelulusan untuk ujian bahagian dua dan tiga di institusi memandu berkenaan akan ditarik balik sehingga ia mempunyai kelayakan asas iaitu tiga bintang dan ke atas," tambahnya.

Langkah penarafan bintang ke atas institusi memandu itu dilaksanakan sejak September 2015.