Penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimomokkan pembangkang hanyalah bersifat populis dan tidak bertanggungjawab, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz.

Beliau juga yakin, pembangkang tidak mampu menghapuskan sistem percukaian itu kerana sehingga kini mereka tidak ada alternatif serta alasan yang konkrit untuk menampung kelompangan dari penghapusan sistem percukaian itu.

"Kita sedar GST bukan boleh dimain-main dan bukan untuk dapat populis sebab GST sistem percukaian yang mengambil kira untuk perbelanjaan balik untuk pembangunan dan mengurus negara, kalau depa (pembangkang) kata depa perintah nak hapus GST sudah tentu kita patut tanya mana sumber depa nak ambil pula.

"Sebab itu Bank Dunia tanya mana sumber itu dan nak ganti kelompangan jika dihapuskan, sudah tentu mereka tak boleh jawab, depa kata bagi kami perintah dulu taulah kami nak buat.

"Itu adalah kenyataan tidak bertanggungjawa dan tak masuk akal," katanya kepada pemberita pada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Jerlun, dekat sini, pada Ahad.

Pada majlis itu, sebanyak 32 sekolah menerima sumbangan berupa alat bantuan mengajar berupa projektor dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar sekolah di kawasan Parlimen Jerlun.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM (Pematuhan), Abdul Manap Dim.

Dalam pada itu, Othman meminta agar rakyat tidak terpesona dengan janji pembangkang untuk menghapuskan GST kerana GST adalah hasil yang membantu menyelamatkan negara ketika kegawatan ekonomi pada 2015-2016.

"Rakyat kena tahu ia penting untuk negara, jadi pengguna kena lah bijak membeli dan jika peniaga ambil kesempatan laporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk diambil tindakan," katanya.

Utusan Malaysia pada Sabtu melaporkan Pengurus Negara bagi Malaysia Kumpulan Bank Dunia, Faris H. Hadad-Zervos menerusi satu video yang dipetik dari sebuah portal mempersoalkan bagaimana Pakatan Harapan diketuai DAP dapat menampung kehilangan hasil lebih RM20 bilion akibat pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) jika memerintah.

Janji pembangkang itu menimbulkan tanda tanya bukan sahaja dalam kalangan penganilis tempatan bahkan turut menjadi tanda tanya pengurusan kanan Bank Dunia kerana jika dihapuskan, Malaysia akan kehilangan hasil yang banyak

Dalam video itu, beliau turut mengajukan lima soalan utama andai pembangkang mahu memansuhkan GST seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan antaranya apakah sumber pendapatan lain untuk negara selepas GST dimansuhkan, adakah negara anda bergantung kepada komoditi sedangkan harganya tidak menentu mengikut pasaran dunia, adakah anda ingin mengurangkan portfolio sumber pendapatan di negara ini.

Selain itu, soalan lain ialah apakah yang anda ingin berikan kepada rakyat apabila melepaskan GST dan apakah perkhidmatan, manfaat atau apakah perbelanjaan yang akan anda lupuskan?

-- BERNAMA