Kerajaan kini sedang mengkaji beberapa pendekatan termasuk membuka monopoli Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) sebanyak 30 peratus pada tahun depan kepada pengusaha industri berkaitan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata ia sebahagian mekanisme awal kelangsungan industri tersebut sebelum konsesi BERNAS tamat sepenuhnya pada 2021.

Tambahnya, Kerajaan tidak akan tergesa-gesa dalam melaksanakan model terbaharu industri itu kerana ia melibatkan soal keselamatan makanan negara.

“Kabinet telah memutuskan, isu sama ada BERNAS - yang akan ditamatkan konsesinya menjelang 2021 - itu sedang dibincang di peringkat jawatankuasa khas Kabinet yang dipengerusikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan dianggotai lapan kementerian lain.

“Ini satu perkara besar yang kita bukan hanya anggap, lepas BERNAS (dihapus monopoli) akan ada satu badan yang akan kawal selia isu padi beras negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang menubuhkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) bagi mengambil alih fungsi BERNAS.

Menurutnya, kajian komprehensif itu harus melihat aspek urbanisasi dengan tanah pertanian dan bendang semakin mengurang, pertambahan penduduk menjelang 2050 dengan populasi negara diunjur mencecah 45 juta orang serta perubahan gaya hidup dan diet masyarakat.