Keputusan berhubung isu penghapusan kutipan tol lebuh raya akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata ketika ini pihaknya sudah menerima beberapa cadangan daripada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat dan akan menilai semua cadangan berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.

"Masa sekarang kita masih berunding, mencari satu jalan yang saling memanfaatkan kepada pihak berkepentingan dan kerajaan baharu. Apa yang nanti diputuskan cara baiknya yang diterima semua pihak berkepentingan. Saya percaya itu akan dilaksanakan.

"Saya difahamkan semua pemegang berkepentingan bersikap positif (ekonomi) terhadap kedudukan kita sekarang. Justeru itu mereka sangat memahami, kita harap akan ada persefahaman dan kesimpulan bersama serta persetujuan bersama yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penghargaan 'Man-Hours Without Lost-Time Injury' (LTI) bagi projek-projek lebuh raya dalam pembinaan, di Susur Lebuh Raya Bandar Mahkota Cheras.

Katanya antara cadangan yang diberikan syarikat konsesi termasuklah pemberian rebat, memanjangkan tempoh konsesi lebuh raya dan pemberian diskaun.

Dalam perkembangan lain, Baru berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi beliau berhubung laporan terhadap setiausaha politiknya yang didakwa berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

"Dia (Anwar) dah telefon saya dan bertanyakan perkara itu, dan saya katakan kita sudah buat satu kenyataan akhbar bahawa kita biarkan dia disiasat pihak berkuasa. Jadi kita biarkan sahaja siasatan ini dilakukan dahulu," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan Ahmad Syukri Che Ab Razab membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa seorang setiausaha politik di sebuah kementerian.

Ahmad Syukri mendakwa individu terbabit menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan RM300,000 dalam satu mesyuarat dengan pemimpin tempatan pada 1 Sept lalu di mana individu berkenaan bertanding untuk jawatan ketua cabang serta merebut jawatan dalam kepimpinan pusat.

-- BERNAMA