Kerajaan perlu lebih berani dalam membuat keputusan yang tegas mengenai isu perkahwinan kanak-kanak, kata peguam dan aktivis hak asasi manusia Datuk Ambiga Sreenivasan hari ini.

Beliau berkata, hak kanak-kanak perlu dilindungi dan pengharaman perkahwinan kanak-kanak hanya memerlukan kerajaan meluluskan satu undang-undang bagi menghalangnya.

"Saya berpendapat kerajaan tidak perlu takut dan saya tahu akan terdapat kumpulan berbeza bercakap perkara yang berbeza (seperti) budaya dan agama, tetapi kerajaan perlu mempunyai keberanian dan kerajaan perlu mendahului berhubung isu perkahwinan kanak-kanak

"Dan itulah yang saya suka melihatnya. Mereka perlu lebih jelas mengenai perkara itu," katanya dalam program temu bual secara langsung di Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama.

Beliau memberi pandangan berikutan kontroversi perkahwinan kanak-kanak di negara ini dengan isu berkenaan begitu banyak diperbahaskan oleh banyak pihak.

Kontroversi itu heboh diperkatakan susulan perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 tahun di Kelantan pada Julai. Kes yang seumpama juga dilaporkan di negeri yang sama awal bulan ini di mana seorang gadis berumur 15 tahun berkahwin dengan lelaki berumur 44 tahun berikutan kemiskinan keluarga.

"Saya berpendapat adalah amat sukar bagi sesiapa untuk mempersoal bahawa pengharaman perkahwinan kanak-kanak adalah sesuatu yang amat tidak baik kepada Malaysia secara keseluruhan.

"Saya fikir ia adalah antara perkara yang kerajaan kita perlu lakukan dengan meluluskan undang-undang dan mereka perlu lakukannya kerana kanak-kanak kita adalah suatu anugerah yang berharga kepada kita. Mereka adalah masa hadapan negara dan anda tidak boleh mengahwinkan mereka pada umur 11 tahun," katanya.

Mengenai perkara lain, Ambiga berkata kerajaan baru telah melakukan yang terbaik meskipun menghadapi banyak cabaran dan terpaksa membersihkan masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.

"Jangkaan mereka adalah terlalu tinggi setakat ini melainkan beberapa isu. Saya berpendapat mereka telah lakukan yang terbaik. Saya gembira melihat mereka mempunyai kegigihan yang lebih apabila berhadapan isu sensitif.

-- BERNAMA