Tutup

Harapan sempena Hari Wilayah Persekutuan

Harapan sempena Hari Wilayah Persekutuan
KUALA LUMPUR: Sempena Hari Wilayah Persekutuan, Astro Awani telah mendapatkan pandangan beberapa pemimpin dan ahli parlimen tentang apakah yang mereka impikan untuk tahun-tahun mendatang.

Antara perkara paling utama yang dibangkitkan adalah isu pengangkutan dan kesesakan lalu lintas, isu perumahan awam dan jenayah.

Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong berkata bahawa semua isu-isu yang berkaitan dengan WP, khususnya di Kuala Lumpur, berkait rapat dengan prestasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Dewan Bandaraya mesti melaksanakan tugas mereka dengan baik, kerana mereka adalah pentadbir Kuala Lumpur. Jadi apa sahaja yang kita katakan adalah sia-sia jika mereka tidak mengubah sikap," kata Wee.
Beliau berkata agak sukar untuk menjadikan KL sebagai bandaraya bertaraf dunia jika isu-isu seperti pengangkutan dan juga peruntukan tempat untuk peniaga kecil tidak dikendalikan dengan baik.

Beliau juga mencadangkan pilihan raya pihak berkuasa tempatan diadakan kerana Datuk Bandar yang dipilih akan menjadi lebih bertanggungjawab kepada rakyat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kawasan pembangunan hijau, menangani isu pengangkutan, banjir, dan jenayah.

“Saya berharap semua rancangan pembangunan kena diaturkan lebih berkesan, terutamanya memandangkan keperluan untuk memelihara alam sekitar. Kita mesti menambahkan kawasan hijau.”

Beliau juga meminta Dewan Bandaraya untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam serta menjalankan kajian lanjut mengenai bagaimana untuk menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda bandar.

"Selain daripada itu, saya berharap pihak DBKL bersama dengan pihak polis, dan orang ramai mesti mempertingkatkan kewaspadaan untuk membasmi jenayah ”

Tan juga berkata: "Saya mahu menyaksikan tender yang betul-betul terbuka, dimana projek-projek yang dilaksanakan dengan baik, tidak terbengkalai dan dengan tambahan kos yang meningkat dan sebagainya."

Beliau juga berkata bahawa semua pegawai kerajaan, termasuk pegawai penguatkuasa, mesti mempunyai integriti.

Ketua Pemuda Umno WP Datuk Rizalman Mokhtar berkata apa yang perlu diambl perhatian, ialah pengangkutan dan perumahan mampu milik.

"Di Kuala Lumpur sebenarnya kita mempunyai segala-galanya, [tetapi] kita mempunyai masalah yang sama setelah sekian lama, iaitu kesesakan lalu lintas," katanya.

Beliau berkata bahawa beliau berharap kerajaan boleh menambahkan peruntukan untuk pengangkutan awam supaya "satu hari nanti kita boleh ada orang yang tidak malu untuk mengambil pengangkutan awam."

Rizalman juga berkata: "Pada masa yang sama, bagi generasi muda, kita berharap bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya boleh menambahkan perumahan yang mampu dimiliki."

"Kita tahu bahawa Dewan Bandaraya menyediakan banyak rumah untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tetapi kita juga harus sedar bahawa rumah-rumah yang kita ada hari ini dipenuhi dengan orang-orang dari generasi sebelumnya, 20, 30 tahun yang lalu," katanya.

Seperti Rizalman, Pengerusi MCA WP Tan Chai Ho berkata bahawa DBKL harus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan mengenai isu perumahan.

Semasa mengulas isu-isu seperti kesesakan lalu lintas, banjir dan kekurangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk keselamatan awam, Tan kata bahawa MCA telah mencadangkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji isu-isu ini dengan berkesan.

"Kita sebenarnya mengadakan banyak mesyuarat dengan DBKL dan Datuk Bandar. Kami telah meminta supaya mempunyai satu jawatankuasa khas untuk menyelesaikan isu-isu yang saya sebutkan, "katanya.

Tan menjelaskan bahawa jawatankuasa itu hendaklah ada anggota kerajaan serta entiti swasta, termasuk pakar-pakar, dan tidak semestinya ahli politik sahaja.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata dia ingin melihat rondaan lebih kerap oleh DBKL di sekitar bandar mencari jalan berlubang dan kemudahan awam yang rosak.

Lim berkata bahawa masalah lama seperti jumlah saman DBKL yang tinggi yang dikaitkan dengan kekurangan ruang parkir kereta.