Harga ayam dijangka kekal sepanjang Ramadan tahun ini berdasarkan pengeluaran bekalan yang mencukupi bagi menampung permintaan terutama menjelang musim perayaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata kementerian dan wakil pengeluar dan penternak ayam sedang berunding mengenai harga siling jualan ayam.

"Kita beri jaminan, berdasarkan rundingan kita dengan pengeluar, bekalan ayam mencukupi untuk rakyat, malah pengeluaran melebihi permintaan. Jadi, tidak timbul soal kenaikan harga ayam.

"Menerusi Skim Kawalan Harga, kita buat dua minggu sebelum dan selepas Hari Raya. Kali ini, sepanjang Ramadan harga ayam dikekalkan," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang memproses ayam, PPNJ Poultry & Meat Sdn Bhd dekat sini, pada Ahad.

Beliau berkata kementerian juga sedang membuat kajian mengenai Skim Kawalan Harga dan hasilnya akan diumumkan tidak lama lagi.

Mengenai pasaran domestik ayam daging, beliau berkata statistik dari 2006 hingga 2012 menunjukkan pengeluaran adalah melebihi penggunaan domestik.

Pada 2006, penggunaan domestik ayam daging ialah sebanyak 390 juta ekor dan ia meningkat sebanyak 52 peratus pada 2012 kepada 594 juta ekor.

Bagaimanapun, pengeluaran ayam daging pada 2006 ialah sebanyak 427 juta ekor dan meningkat 49 peratus pada 2012 kepada 637 juta ekor, katanya.

"Berdasarkan kepada teori ekonomi, jika pengeluaran melebihi permintaan, sepatutnya tidak timbul isu kenaikan harga ayam. Namun di sini, kita lihat ia berlaku sebaliknya di mana pengeluaran melebihi permintaan, namun harga ayam naik. Ini menunjukkan berlakunya gangguan pasaran," kata Hasan.

Selain itu, beliau berkata kajian yang dibuat oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut mendapati hanya 292 perladangan ayam daging berdaftar sebagai entiti perniagaan yang sah di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Jumlah itu meliputi 12.1 peratus daripada keseluruhan 2,402 perladangan ayam daging yang direkodkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Saya sarankan mereka yang tidak berdaftar dengan SSM supaya berbuat demikian agar senang menyelaraskan data," katanya.

Mengenai krisis daging, Hasan berkata ia lebih berkaitan dengan bekalan import yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Jika ada aduan, kita akan siasat dan bekerjasama dengan kementerian itu dan mencari jalan bagaimana hendak mengawal harga mendadak ini," kata beliau.

Akhbar hari ini melaporkan krisis kekurangan daging segar dijangka melanda negara Jun ini dan peniaga di beberapa negeri telah mula menaikkan harga daging segar sejak sebulan lepas.