Harga minyak dijangka kekal rendah tahun depan, dan hasil daripada sumber berkaitan minyak dianggarkan berjumlah RM31.7 bilion atau penyusutan pendapatan kerajaan lebih RM30 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sesungguhnya keputusan kerajaan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah tepat, lebih-lebih lagi berikutan kejatuhan harga minyak lebih 50 peratus daripada paras US$100 sebelum ini.

Ketika membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat di sini hari ini, beliau berkata Petroleum Nasional Bhd (Petronas) menyumbang sejumlah dividen kepada Perbendaharaan setiap tahun.

“Jumlah dividen ini bergantung kepada naik turunnya harga minyak dunia,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata dalam tempoh setahun, dengan harga minyak mencatatkan purata US$100 setong, pendapatan daripada dividen Petronas serta hasil cukai petroliam kepada negara berjumlah RM62 bilion.

“Akan tetapi, senarionya berbeza apabila harga minyak turun kepada paras sekitar US$50 setong. Pendapatan daripada dividen Petronas serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah RM44 bilion pada 2015,” katanya.