Harga minyak sawit mentah negara dijangka terus mencatatkan kenaikan sehingga perayaan Tahun Baru Cina akan datang.

Demikian jelas Menteri Industri Utama Teresa Kok yang mana berita gembira itu boleh membantu peladang dan pekebun kecil dalam negara meningkatkan pendapatan mereka.

"Sekarang telah naik dua minggu lepas harga sawit RM1,789 per metrik tan tapi pada hari Jumaat ia naik mencecah RM2,000.

"Ini keadaan menggembirakan semua pihak. Saya jangka harga kelapa sawit naik lagi sampai Tahun Baru Cina. Saya berharap semua pihak bekerjasama untuk sijilkan ladang sawit, kebun sawit, dan kilang kelapa sawit di bawah MSPO untuk memastikan minyak kelapa sawit kita ada standard," ujarnya.

Di samping itu, mengamalkan amalan pertanian baik oleh setiap peladang mahupun pekebun juga jelasnya antara punca utama kualiti minyak sawit terjamin sekali gus memberi keyakinan kepada pengimport minyak sawit dunia.

Beliau berkata demkian selepas ditemui media dalam Program Komuniti anjuran Kelab Rotary di ibu negara pada Ahad.

Sabtu lalu, Dewan Rakyat Perancis mengumumkan tidak mengiktiraf minyak sawit sebagai sebahagian sumber untuk penghasilan biodiesel.

Ia membawa kepada bantahan beberapa negara pengeksport minyak sawit yang menyifatkannya sebagai 'diskriminasi" kepada industri minyak sawit.