Kerajaan sepatutnya menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter baru-baru ini, namun memutuskan untuk hanya menaikkan 10 sen seliter, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO, berkata kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk memberikan subsidi bagi menampung baki 10 sen seliter yang tidak dinaikkan itu.

"Harga minyak RON95 sepatutnya naik 20 sen seliter baru-baru ini, tetapi kerajaan hanya menaikkannya sebanyak 10 sen seliter," katanya pada majlis penyampaian sumbangan Ramadan di Masjid Bandar Baharu Beris di sini, hari ini.

Beliau berkata penjimatan yang diperoleh kerajaan hasil tindakan menaikkan harga minyak sebanyak 10 sen itu akan digunakan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan bagi kemudahan rakyat.

Khairy berkata ia sama seperti hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang mana kerajaan berjanji akan menyalurkan hasil pendapatan cukai itu kepada projek-projek demi kepentingan rakyat.

Harga runcit petrol RON95 naik 10 sen, manakala RON97 sebanyak 20 sen seliter bagi Julai 2015, berkuat kuasa tengah malam 1 Julai lepas.

Harga diesel pula kekal pada RM2.05 seliter, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Khairy berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah bersetuju untuk menyalurkan pendapatan daripada kutipan GST itu untuk usaha-usaha mensejahterakan kehidupan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata negara tidak boleh mengawal harga minyak kerana ia ditentukan oleh pasaran antarabangsa.

Turut hadir pada majlis itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Belantik Datuk Tajuddin Abdullah, yang juga exco kerajaan Kedah.