Lebih 100 pembeli rumah kos sederhana rendah di Bukit Gambir di sini merayu kerajaan negeri pimpinan DAP agar campur tangan berhubung tindakan pemaju menaikkan harga lebih sekali ganda berbanding ketika ditawarkan pada 2008.

Pembeli-pembeli berkenaan mendakwa kini terpaksa membayar antara RM160,000 hingga RM180,000 berbanding harga asal RM72,500 atas alasan pemaju melakukan pengubahsuaian dalaman dan harga lot parkir.

Wakil mereka, Norlida Masturo, 43, berkata dalam pertemuan dengan wakil pemaju Khamis, pihak pembeli ditawar harga asal untuk rumah di tingkat 14, 30 dan 31, kerana unit di tingkat terbabit itu belum diubah suai.

"Satu tingkat cuma ada 14 unit dan kami ada lebih 100 orang, mana cukup untuk semua. Tambahan pula kami tetap kena bayar untuk lot parkir yang berharga antara RM15,000 dan RM28,000," katanya kepada pemberita.

Menurut Norlida, mereka ditawar rumah terbabit oleh Pejabat Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan Pulau Pinang selepas sekian lama mendaftar untuk memiliki rumah sendiri.

"Ada antara kami yang sudah menandatangani perjanjian dengan pemaju dan membayar pendahuluan 10 peratus, jadi mahu tak mahu terpaksa terima harga yang ditetapkan," katanya.

Projek pangsapuri 31 tingkat itu menawarkan 780 unit rumah dengan setiap unit berkeluasan 60 meter persegi (650 kaki persegi) dan dijangka dapat diduduki Mac depan.

Pembeli dimaklumkan mengenai kenaikan harga rumah terbabit menerusi surat bertarikh 29 Nov lepas.

Bagi menyelesaikan isu itu, pembeli menemui Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan negeri Jagdeep Sing Deo pada 3 Dis lalu, namun Jagdeep meminta pembeli berunding sendiri dengan pemaju.