HARGA runcit petrol RON95 turun sebanyak 38 sen manakala RON97 turun 36 sen dan diesel juga turun 12 sen berkuat kuasa 21 hingga 27 Mac ini.

Kementerian Kewangan, menerusi satu kenyataan pada Jumaat, memaklumkan harga runcit RON95 ialah RM1.44 seliter bagi tempoh berkenaan.

Harga runcit RON97 dan diesel bagi tempoh berkenaan masing-masing pula ialah RM1.74 dan RM1.75 seliter.

Kementerian Kewangan berkata penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).



Kementerian tersebut berkata penurunan harga runcit produk petroleum ini adalah disebabkan trend harga minyak mentah dunia yang terus menurun ekoran ketidaktentuan ekonomi global akibat pandemik COVID-19.

Ia sekali gus menjadikan harga petroleum bagi tempoh berkenaan lebih murah daripada harga sekeping penutup hidung dan muka yang rata-ratanya dijual pada harga sekitar RM2 di pasaran.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan golongan B40.