Tutup

Harga sawit meningkat di bawah kerajaan PH - MB Johor

Harga sawit meningkat di bawah kerajaan PH - MB Johor
Sahruddin (berdiri) beramah mesra bersama penduduk kawasan setempat pada Ceramah Kelompok PRK Parlimen Tanjung Piai di Pusat Daerah Mengundi Peradin, Kg Belokok, Teluk Kerang, malam tadi. --fotoBERNAMA
PONTIAN: Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal mempertahankan kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini bahawa harga kelapa sawit pada masa ini adalah lebih tinggi.

Ini kerana menurutnya pada bulan lepas, harga komoditi itu telah naik sehingga RM350 satu tan, sekaligus menunjukkan bahawa kerajaan pada hari ini sudah pun melakukan yang terbaik untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat.
"Jadi, kita semua kena peka, kena maklum dan kena tahu. Jangan menggelabah terutama bagi pemimpin-pemimpin kita. Kita kena bersyukur bahawa kerajaan membuat yang terbaik untuk memastikan kesejahteraan masyarakat," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita pada kempen PH di Pusat Daerah Mengundi Peradin, Teluk Kerang di Kampung Belokok di sini, malam tadi, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dibuat Karmaine baru-baru ini berhubung kejatuhan harga komoditi berkenaan.
BACA: Karmaine tidak tahu perihal kelapa sawit, dakwa Jeck Seng

Baru-baru ini, Karmaine dilaporkan menyebut bahawa rakyat sepatutnya bersyukur kerana semasa pentadbiran Barisan Nasional harga sawit pernah jatuh ke paras RM84 bagi satu tan.

Sementara itu, mengulas dakwaan bahawa terdapat segelintir nelayan di Tanjung Piai masih belum menerima wang sagu hati atau wang ihsan daripada kerajaan seperti yang pernah dinikmati ketika zaman BN, Sahruddin berkata akan ada berita mengenai perkara itu selepas mesyuarat exco kerajaan negeri, hari ini.

BACA: Isu minyak sawit: Keluarkan kenyataan reda ketegangan dengan India - Ahmad Jazlan

-- BERNAMA