Harga serendah RM5 menjadi antara faktor mengapa semakin ramai pelajar sekolah dan universiti di negara ini terlibat dengan dadah psikotropik berbanding dadah tradisional seperti heroin dan kokain.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata trend itu berlaku disebabkan dadah jenis kokain, heroin dan ganja dijual dengan mahal dan tidak mampu dimiliki oleh pelajar.

Oleh itu, sebagai alternatif, mereka memilih dadah psikotropik yang boleh didapati pada harga serendah RM5 sebiji.

Menurutnya, dadah psikotropik yang merupakan dadah moden jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) dan New Psychoactive Substances (NPS) terdiri daripada ekstasi, amphetamin dan lain-lain berupaya mengubah fungsi otak sehingga mengakibatkan perubahan dalam mood, kesedaran atau tingkah laku.

Katanya, seseorang yang ketagih dadah ini juga sukar dirawat berbanding dadah tradisional.

"Biasanya dadah ATS digunakan oleh pelajar sekolah menengah dan penuntut universiti untuk menghadapi peperiksaan sebab mereka tidak membuat persediaan awal. Jadi, mereka mengambilnya supaya dapat bertahan ketika mengulang kaji pada saat-saat akhir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia Kali ke- 43 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Nur Jazlan berkata berdasarkan data pada 2015, seramai 1,475 pelajar sekolah didapati terlibat dengan pengambilan dadah dan daripada jumlah itui, 73 peratus berkaitan ATS, 19.2 peratus berkaitan dadah jenis kanabis manakala lapan peratus lagi lain-lain dadah.

Justeru, Kementerian Dalam Negeri sedang berusaha untuk mengatur aktiviti dengan pelbagai pihak antaranya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha untuk mengenal pasti kawasan-kawasan panas bagi penagihan dadah di seluruh negara.

"Pada masa ini, kawasan tumpuan penagih adalah di kawasan nelayan seperti di Kedah, Perlis dan Kelantan. Tumpuan juga dilakukan di kawasan pangsapuri kos rendah di seluruh negara khasnya Lembah Klang serta kawasan Felda terutama di Pahang," kata beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

-- BERNAMA