Pemain industri simen telah bersetuju untuk tidak menaikkan harga bahan binaan tersebut, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Saifuddin, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pemain industri simen susulan ura-ura kenaikan harga bahan binaan tersebut.

Jelas beliau, dalam pertemuan tersebut pihaknya memaklumkan bahawa pemain industri tertakluk kepada Akta Kawalan Bekalan yang meletakkan syarat bahawa kerajaan perlu dimaklumkan jika harga simen hendak dinaikkan.

“Di akhir pertemuan tersebut, pemain industri bersetuju bahawa tidak akan menaikkan harga simen dan mereka sendiri akan memaklumkan kepada pelanggan tentang perkara tersebut.

“Mereka (pemain industri) juga bersetuju di masa akan datang, mereka akan memaklumkan kepada kementerian jika berhasrat untuk menaikkan harga simen,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran garis panduan pematuhan standard filem penghadang, di sini pada Rabu.

BACA: Lim akan jumpa Saifuddin bincang punca kenaikan harga simen

Sebelum ini isu kenaikan harga simen dibangkitkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) yang mendakwa menerima notis kenaikan harga simen sebanyak 40 peratus pada 3 Jun lalu.

Kenaikan berkenaan dilaporkan berkuatkuasa pada 15 Jun dan 1 Julai ini.

Berdasarkan laporan itu, 85 peratus bekalan simen negara dikuasai oleh sebuah syarikat sahaja dan jangkaan kenaikan mendadak daripada RM10 kepada RM16 itu akan menyebabkan harga rumah terutama rumah mampu milik menjadi mahal.