KUALA LUMPUR:Kerajaan sedang berbincang mengenai model pemerolehan vaksin COVID-19 yang sesuai bagi rakyat di negara ini.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, ketika ini kerajaan sedang meninjau harga indikatif pemerolehan bagi vaksin itu yang dianggarkan berharga antara AS$5 hingga AS$20 (RM21 hingga RM83) seorang.

"Mengenai harga, kita sedang meninjau sekitar antara AS$5 (RM21) hingga AS$20 (RM83) bagi setiap orang. Ia adalah harga indikatif buat masa ini dan ia bergantung kepada rundingan.

"Ada beberapa vaksin ditawarkan kepada kita dengan harga AS$5 dan ada juga lebih AS$20. Kita belum tahu lagi kerana ada beberapa vaksin mempunyai dos yang pelbagai dan kita perlu mengkajinya," katanya ketika ditemui di ibu negara pada Khamis.

Ujanrya, langkah itu belum pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini iaitu membeli produk yang belum dibuat dan diluluskan lagi.

Bagaimanapun jelas Khairy, kerajaan juga sedang mengkaji dari sudut perundangan mengenai pembelian awal vaksin itu.

Kerajaan tambahnya, mempunyai strategi dalam mendapatkan vaksin COVID-19 termasuk rundingan bersama syarikat farmaseutikal mengenai pembangunan vaksin.

Malah Malaysia sedang dalam perbincangan bagi menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 global (COVAX) oleh Pakatan Vaksin Global (GAVI).