Menghargai dan menghormati perkhidmatan ahli bomba tidak memadai sekadar menganugerahkan pingat, sijil, cenderamata, ucapan dan surat pujian.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah ‘Sambutan Hari Anggota Bomba’ akan lebih bermakna jika acara sambutan diisi dengan acara-acara berunsur spritual (kerohanian) dan berunsur ilmu.

Baginda bertitah unsur tersebut berupaya meningkatkan penghayatan masyarakat dan apresiasi negara, serta dilengkapi dengan program-program yang dapat memberikan impak bermakna.

"Menghargai dan menghormati khidmat anggota bomba hendaknya tidak terbatas kepada program-program berbentuk perbarisan, pameran, persembahan budaya atau jamuan.

"Sesuatu sambutan yang diadakan, kalau sekadar berbentuk upacara berbentuk ritual, terlalu luaran sifatnya. Akan hanya membazirkan sumber kerana gagal membuahkan hasil yang dihasratkan.

"(Acara-acara berunsur spiritual dan berunsur ilmu) berupaya membawa perubahan-perubahan substantif kepada perkhidmatan yang memberikan manfaat jangka panjang kepada para anggota," titah baginda ketika merasmikan sambutan Hari Bomba Sedunia 2017 di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini pada Khamis.

Titah baginda lagi, acara-acara yang berunsur spiritual dan ilmu itu juga perlu menyentuh lima perkara asas.

"Pertama; mereka rasa program latihan dan tatacara operasi yang dapat meningkatkan tahap profesional anggota, Kedua; mengenal pasti peralatan terkini yang diperlukan dalam menghadapi cabaran senario semasa untuk membolehkan perkhidmatan yang lebih efektif dapat diberikan.

"Ketiga; menilai prosedur operasi dan kelengkapan yang perlu dibekalkan untuk meminimumkan risiko para anggota ketika menjalankan tugas, keempat; pakej perkhidmatan dan program kebajikan para anggota bukan sahaja semasa berkhidmat tetapi lebih penting pada usia tua persaraan, setimpal dengan tahap pengorbanan, beban tanggungjawab dan risiko yang dihadapi oleh anggota.

"Kelima; meningkatkan kesedaran negara dan masyarakat akan pengorbanan ahli bomba agar negara dan masyarakat memberikan apresiasi yang lebih tinggi kepada ahli bomba semasa dalam perkhidmatan dan setelah bersara daripada perkhidmatan," titah baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada anggota-anggota bomba atas pengorbanan yang dibuat ketika diperlukan oleh rakyat.

"Ketika melaksanakan tugas, para anggota telah menunjukkan sifat pengorbanan, sifat keinsanan dan sifat kemanusiaan yang tinggi; melaksanakan tanggungjawab tanpa mengenali waktu dan lelah, berpanas – berkeringat, berembun - berhujan, meredah air – mengharung lumpur, mendaki bukit – memanjat bangunan, menghadapi bahaya – menanggung risiko, sedaya mungkin menghulurkan pertolongan kepada mangsa bencana.

"Sesungguhnya semangat berkhidmat, semangat pengorbanan para anggota bomba merupakan satu amal makruf melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah.

"Semoga kehidupan saudara-saudari dan anggota keluarga dikurniakan ganjaran keberkatan atas amal makruf yang dilakukan, serta dilimpahkan ganjaran rahmat ketika berada di alam barzakh dan turut membantu memberatkan timbangan amal pada hari perhitungan di Padang Mahsyar," titah baginda.

Turut berangkat pada majlis itu , Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sultan Nazrin yang menerima tabik hormat turut menyaksikan perarakan perbarisan daripada 27 kontinjen disertai seramai 2,100 anggota JBPM serta 90 unit kenderaan jabatan terbabit.