KUALA LUMPUR:Tahukah anda, 4 Oktober 2020 merupakan Hari Haiwan Sedunia?

Bukan sekadar memperingati hari peristiwa itu, ia memberikan pengertian mengenai sejauh mana kebajikan haiwan terpelihara. 

Ia berikutan, isu penganiayaan dan kekejaman terhadap haiwan tidak pernah reda.

Malah, pengabaian terhadap makhluk ciptaan tuhan itu kerap berlaku semasa Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda dan penjara terhadap pelaku masih lagi tidak mampu menghentikan perbuatan kejam manusia terhadap haiwan.

Ia menetapkan seseorang yang menzalimi haiwan boleh didenda maksimum RM75,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Namun, sejauh mana ia mampu memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menjaga kebajikan haiwan?

Bagi Penganalisis Jenayah Haiwan Malaysia (MyAct), Arie Dwi Andika, beliau melihat kebanyakan penganiayaan haiwan dilakukan orang dewasa.

Justeru katanya, pendidikan mengenai kesedaran menjaga kebajikan haiwan perlu dipupuk sejak kecil lagi.  

"Saya sendiri mengandaikan bahawa kesedaran bagaimana menghormati hak haiwan ini masih rendah. Jadi disebabkan ilmu tentang kesedaran begitu rendah, saya nampak kebanyakan pelaku penjenayah haiwan ini adalah mereka yang terdiri daripada golongan umur yang terdahulu.

"Maksudnya sekiranya kita tidak segera menjalankan pendidikan di peringkat sekolah dan universiti, maka saya percaya 10 tahun lagi Malaysia masih gagal membendung kegiatan dan kekejaman terhadap haiwan," katanya dalam satu temubual bersama Astro AWANI di sini. 

BACA: Lagi kes kucing mati dimasuk dalam mesin dobi pakaian

BACA: Mana belas ihsan? Video lelaki hempas kucing tular di media sosial

BACA: Lagi kucing dianiaya, diseret tengah jalan

Jelasnya lagi, hak haiwan perlu diterapkan dalam pemikiran masyarakat dan pada masa sama, pihak berwajib terutama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.
 
"Walaupun dari segi undang-undang membenarkan PBT melakukan tangkapan (haiwan), namun kadang-kadang kita bantah tangkapan secara kasar dan tiada berSOP.

"Namun bantahan itu dipandang ringan dan dilihat sebagai menyusahkan kerja PBT dan alasannya untuk mencegah penyakit," ujarnya lagi. 

Layanan kasar terhadap penangkapan haiwan terbiar menyebabkan nilai menghargai makhluk ciptaan Tuhan semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat.

Malah katanya sikap segelintir masyarakat yang melepaskan kemarahan terhadap haiwan disebabkan masalah peribadi, merupakan suatu perkara yang tidak adil dan boleh dikategorikan sebagai gangguan mental.

"Jangan kerana ada masalah rumahtangga, tiada pekerjaan, dan sebagainya, saya kira pelaku ada gangguan emosi dan kejiwaan," kata beliau. 

Monyet, beruk merupakan haiwan liar paling banyak didera

Katanya, penjenayah haiwan dibahagikan kepada dua kategori iaitu disebabkan masalah psikologi dan kedua, masalah suka-suka menganiaya haiwan.

Di Malaysia, bagi kelompok haiwan domestik, kucing dan anjing adalah binatang yang kerap dianiaya dan didera.

Manakala, monyet, beruk dan kera adalah haiwan liar paling banyak dianiaya manusia.

"Tiada istilah 'mengajar' haiwan kerana itu haiwan liar. Kalau nak 'mengajar' mungkin untuk anak-anak manusia.

"Biarkan haiwan-haiwan itu melakukan aktiviti norma masing-masing. Tindakan 'mengajar' haiwan seperti kera, hanya menimbulkan kezaliman dan perubahan sikap haiwan ini kerana ketakutan terhadap apa yang dilakukan terhadapnya," tambah beliau. 

BACA: Lelaki sembur beruk dengan pewarna dicari

Justeru katanya, bukan setakat bergantung kepada undang-undang sedia ada, setiap anggota masyarakat juga perlu ada kesedaran mengenai kebajikan haiwan dan menghentikan penganiayaan dengan ambil tahu hak-hak makhluk ciptaan tuhan itu.

Selamat Hari Haiwan Sedunia!