TIDAK semua memiliki keberanian dan kekuatan untuk menjaga ‘sang rimba’ yang lebih dikenali Harimau Malaya, apabila ancaman kepada nyawa kita wujud pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, tugas itu digalas dengan penuh tanggungjawab oleh Mohd Azman Fikri, penjaga kepada spesies haiwan terancam itu di Zoo Negara.

Seawal jam 7 pagi, Mohd Azman, 24 tahun, akan menjalankan rutin harian termasuk menyediakan ‘taman permainan’ bagi haiwan yang dikenali dengan nama saintifiknya Panthera tigris, sebelum pintu biliknya dibuka.

Menurutnya yang sudah enam tahun berkhidmat di Zoo Negara, perkara paling penting sebelum membenarkan haiwan itu keluar bermain adalah mengenal pasti tingkah lakunya.

“Menjaga Harimau Malaya biasanya untuk rapat perlu mengambil masa lebih kurang tiga bulan, baru kita kenal perangai haiwan itu. (Setiap haiwan) yang ini perangai lain.. yang itu perangai lain.

“Ia (Harimau Malaya) biasanya kalau (bersifat) manja, ia akan mengeluarkan bunyi, dan ia dalam keadaan okay. Tetapi, sekiranya Harimau Malaya (bertindak) ganas, mungkin ada sesuatu berlaku kepadanya malam tadi yang menyebabkan ‘mood’ haiwan itu tidak baik,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI, baru-baru ini.

Gelagat comel haiwan itu kadang-kala mencuit hati, namun Mohd Azman mengakui, rasa gerun ketika mula-mula ditugaskan menjaga Harimau Malaya, memang ada.

Bagaimanapun, katanya, perasaan itu lama-kelamaan lenyap dengan sendiri, dan haiwan itu kini sudah dianggap seperti kawan.

Terdapat sembilan Harimau Malaya ketika ini yang sedang dijaga di zoo negara, dengan usia paling muda berusia adalah satu tahun, iaitu Hebat dan Wira.

Namun, katanya perlu berwaspada ketika menguruskan ‘Pak Belang’ itu.

“Kalau kita tidak fokus dalam kandang harimau, memang nyawa kita boleh melayang. Kita kena fokus masuk kandang harimau… periksa pintu, baru kita buat kerja (pembersihan kandang).

“Tengok keadaan dia, kalau dia lain (garang), kita kena tengok…,” katanya lagi.

Dari segi pemakanan pula, jelas Mohd Azman, kebiasaannya haiwan itu akan dibekalkan sekitar lima kilogram (kg) daging sehari untuk seekor.

Bagaimanapun, jumlah itu masih bergantung kepada saiz haiwan terbabit.

Katanya, terdapat sembilan Harimau Malaya ketika ini yang sedang dijaga di Zoo Negara, dengan yang paling muda berusia satu tahun, iaitu Hebat dan Wira.

Manakala, Harimau Malaya betina dikenali Kitty, 18 tahun, adalah paling tua.

“Kasih sayang kepada harimau itu kena kuat, kalau kita main-main sahaja… tak boleh. Kita kena ada kasih sayang kepada haiwan itu, baru kita boleh jaga haiwan itu. Walaupun haiwan itu busuk atau apa, kita akan jaga dengan baik. Itu penting.

“Kalau haiwan itu merajuk, kita akan pujuk… bagi makanan. Macam di luar ini (di kawasan pameran), jika mereka tak mahu masuk, kita akan baling makanan dari luar.

“Kita panggil mereka, bagi okay… panggil dengan kasih saying, baru ia okay…” katanya.

Mengulas mengenai kesedaran masyarakat terhadap ancaman kepupusan, Mohd Azman mengakui pengunjung yang datang ke Zoo Negara menyedari situasi tersebut.

Ia jelas kelihatan apabila pengunjung sering bertanya dan mempunyai sikap ingin tahu mengenai keadaan Harimau Malaya setiap kali melalui kawasan pameran.

Sehubungan itu katanya, komitmen berterusan perlu dilakukan untuk memastikan spesies Harimau Malaya tidak pupus, khususnya melindungi haiwan itu daripada ancaman pemburu haram.

Mohd Azman Fitri mempunyai pengalaman selama enam tahun sebagai penjaga Harimau Malaya di Zoo Negara

Setakat ini, dianggarkan terdapat kurang 200 ekor Harimau Malaya di hutan di negara ini.

Angka itu menunjukkan penurunan berbanding 60 tahun lalu, di mana dianggarkan terdapat sekitar 3,000 ekor Harimau Malaya di Malaysia.