Hari ini merupakan hari ke-100 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, dan pelbagai langkah telah diambil bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

Ini termasuk kebolehan Kementerian Kesihatan menjalankan 36,812 ujian makmal RT-PCR ketika ini berbanding hanya 6,210 ujian pada awal tempoh pelaksanaan PKP.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan menjelaskan, ketika ini KKM masih mempunyai 6,397 jumlah katil untuk COVID-19.

"Walaupun terdapat 442 katil ICU dikhususkan untuk pesakit COVID-19, kini ia telah mula digunakan untuk pesakit-pesakit kes lain.

"Begitu juga dengan mesin-mesin ventilator memandangkan hanya terdapat dua kes COVID-19 yang menggunakan ventilator.

"Jumlah kes aktif kini telah menurun kepada hanya 208 kes dan peratus kematian turut menurun kepada 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Ini menandakan Malaysia berada dalam fasa pemulihan," jelasnya.

Bagi memastikan negara pulih sepenuhnya dan berjaya menjalani fasa PKP Pemulihan, Dr Noor Hisham menegaskan, masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar iaitu dengan mematuhi sepenuhnya segala nasihat yang diberi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kejayaan meratakan lengkung graf kes COVID-19 dan juga mengurangkan penularan kes COVID-19 di dalam komuniti adalah hasil tindakan bersama semua pihak, termasuk komuniti dan masyarakat.

"Malaysia harus bersedia ke arah kehidupan normal dengan normal yang baharu," katanya.