Hari Kebangsaan 2018 yang disambut hari ini menjadi medan penyatuan rakyat Malaysia dalam menzahirkan semangat patriotisme dan kepentingan perpaduan demi kesejahteraan negara.

Hari Kebangsaan 2018 yang tiba di kemuncaknya dengan acara perbarisan dan perarakan di Putrajaya hari ini, menampilkan empat komponen yang senada dengan tema sambutan "Sayangi Malaysiaku" iaitu kenegaraan; ketenteraman awam; keselamatan negara dan rakyat bersepadu.

Sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Dataran Putrajaya, majlis yang disaksikan jutaan rakyat melalui kehadiran di lokasi serta tontonan siaran langsung di kaca televisyen dan laman media sosial, dimulakan dengan nyanyian lagu keramat Negaraku dan disusuli bacaan ikrar Rukun Negara.

Deruan helikopter di ruang udara Putrajaya kedengaran apabila lima buah helikopter iaitu dua EC 725 AP dan sebuah Sikorsky S61A-4 Nuri, masing-masing milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebuah Augusta 109 milik Tentera Darat Malaysia (TDM) dan sebuah Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat lintas hormat kepada Seri Paduka.

Tembakan kehormatan 14 das, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, yang dilaksanakan 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja, mengiringi acara menaikkan Jalur Gemilang ketika nyanyian lagu Negaraku diperdengarkan.

Turut hadir menyaksikan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2018 itu ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta perwakilan asing.

Dr Mahathir disambut oleh Dr Wan Azizah dan Gobind Singh semasa hadir pada sambutan Hari Kebangsaan ke-61 di Dataran Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA

Sambutan kali ini mencatat sejarah kerana ia signifikan bagi meraikan pemerintahan kerajaan Persekutuan, yang kini diterajui Pakatan Harapan, dan tonggak pemerintahan baharu itu dipimpin Dr Mahathir yang kembali menerajui kerajaan pada usia 93 tahun.

Pemilihan Putrajaya sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2018, selepas 13 tahun pernah menjadi tuan rumah, juga istimewa kerana Dr Mahathir merupakan insan yang mengilhamkan pembangunan kawasan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Prang Besar, menjadi pusat pentadbiran negara pada 1995.

Kali terakhir acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya ialah pada 2005.

Pengunjung yang dianggarkan seramai 300,000 orang mula membanjiri Dataran Putrajaya seawal 5 pagi dengan memeriahkan suasana dengan membawa Jalur Gemilang sendiri untuk menyaksikan acara perbarisan dan perarakan hari kebangsaan itu.

Majlis pembacaan ikrar Rukun Negara melibatkan 50 pelajar termasuk dua pelajar orang kurang upaya (OKU) diketuai Muhammad Aiman Shafiq Mohd Shah Noor Yong dari Maktab Tentera DiRaja,Kem Sungai Besi Kuala Lumpur.

Tembakan kehormatan 14 das, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia dilaksanakan 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2018 bertemakan 'Sayangi Malaysiaku' hari ini. --fotoBERNAMA

Laungan keramat 'Merdeka' sebanyak tujuh kali yang juga diketuai Muhammad Aiman Shafiq turut bergema di Dataran Putrajaya.

Turut menarik tumpuan ialah persembahan khas Sayangi Malaysiaku, yang memaparkan persembahan pelbagai komuniti melalui penyertaan 600 golongan muda daripada kumpulan kesenian.

Mendahului acara perbarisan dan perarakan ialah kontinjen pembawa bendera besar bersaiz 80 kaki x 40 kaki yang dibawa oleh seramai 60 orang.

Ia disusuli dengan perarakan 660 pembawa Jalur Gemilang dan 1,340 pembawa bendera negeri serta bendera berwarna.

Sepanjang acara berlangsung, suasana dimeriahkan dengan alunan irama daripada pancaragam gabungan pasukan beruniform seramai 524 anggota.

-- BERNAMA