Hari kedua Muktamar Tahunan Pas ke-63 akan berlangsung seperti biasa hari ini di sebalik insiden ribut yang meruntuhkan struktur khemah di Kompleks Pas Kedah dan mencederakan 19 yang lain pada Sabtu.

Pesuruhjaya Pas Kedah Dr Ahmad Fakruddin Sheikh Fakhrurazi berkata kejadian berkenaan melibatkan beberapa buah khemah Kelab Usahawan Haraki Pas yang menempatkan agensi kerajaan dan persendirian.

Justeru beliau bagi pihak penganjur melahirkan rasa simpati ke atas mangsa-mangsa bencana.

“Pas Kedah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mangsa di tempat kejadian termasuk Polis DiRaja Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat, pegawai kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” menurutnya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Dalam kejadian sekitar 7.25 malam itu, 19 mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dengan dua daripada mangsa mengalami patah kaki dan tidak sedarkan diri.

Manakala sembilan mangsa di tempatkan di zon kuning serta tiga lagi di zon hijau Hospital Sultanah Bahiyah.

Lima yang lain dibenarkan pulang sebaik menerima rawatan di tempat kejadian.

Kebanyakan mangsa cedera akibat ditimpa struktur khemah yang diterbangkan angin.

Sebaik kejadian, pihak media mahupun pun orang awam tidak dibenarkan memasuki kawasan kejadian dan dikawal ketat oleh Unit keselamatan PAS atau Jabatan Amal bagi memberi laluan kepada pasukan penyelamat menjalankan tugas menyelamat.

Muktamar akan berakhir esok.