Tutup

Hari Rukun Negara dicadang bagi tingkatkan perpaduan

Hari Rukun Negara dicadang bagi tingkatkan perpaduan
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional rancang adakan Hari Rukun Negara bertujuan meningkatkan rasa saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia.
PUTRAJAYA: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional merancang mengadakan Hari Rukun Negara bertujuan meningkatkan semangat bersatu padu dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengarah Bahagian Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional jabatan itu, Mohd Khalil Ahmad berkata, pada hari tersebut, semua pihak termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi serta sektor awam dan swasta akan melafazkan ikrar Rukun Negara secara serentak di seluruh negara.
Beliau, bagaimanapun berkata, Rukun Negara bukan sekadar untuk dilafaz dan dihafal semata-mata, sebaliknya perlu dihayati setiap rakyat bagi mewujudkan kerukunan dalam hidup bermasyarakat yang berbilang kaum dan agama.

"Kita bercadang untuk mengadakan Hari Rukun Negara bermula tahun depan supaya kita ada satu hari khusus untuk mengingati dan menghayati prinsip Rukun Negara," katanya kepada Bernama.
Rukun Negara mengandungi lima prinsip - Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Ia diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, rentetan daripada peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969.

Mohd Khalil berkata, jabatan itu sebelum ini pernah mengadakan program Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara yang melibatkan pelajar Tabika Perpaduan, sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pada 2017.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional melaksanakan program antaranya Kelab Rukun Negara (KRN) dan Sekretariat Rukun Negara (SRN) masing-masing di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyemai prinsip-prinsip terkandung dalam Rukun Negara dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, setakat ini, sejumlah 6,622 KRN telah diwujudkan di sekolah seluruh negara manakala 169 SRN di IPT.

Di peringkat komuniti, beliau berkata program Rukun Tetangga (RT) berjaya meningkat dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan dan muhibah dengan lebih 8,200 RT telah diwujudkan di seluruh negara.

Selain itu, katanya, program Sambutan Minggu Perpaduan 2019 akan diadakan pada 22 September depan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, yang akan menampilkan kepelbagaian budaya di negara ini bagi menyemarakkan semangat perpaduan. - BERNAMA


Tag: Rukun Negara, Hari Rukun Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, perpaduan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.