Hari ini, 57 tahun yang lalu negeri Sarawak mengecap kemerdekaannya.

Bermula daripada pemerintahan keluarga Brooke pada 1841, disusuli penjajahan Jepun dan kemudian British, pemerintahan diserahkan sepenuhnya kepada anak Sarawak pada 1963.

Selepas itu Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu dan Sabah membentuk negara Malaysia.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sejarah membuktikan Sarawak sudah ada kerajaannya sendiri sebelum pembentukan Malaysia.

“Kita (Sarawak) menjadi sebuah negeri dalam Malaysia pada tahun 1963 dan sebelum pengisytiharan penubuhan Malaysia kita telah mempunyai kerajaan kita sendiri pada 22 Julai 1963, ini bermakna sebelum Malaysia terbentuk, lagi kita sudah ada kerajaan kita sendiri,” katanya.

Ujarnya dalam usaha mengangkat martabat negeri Sarawak ke tahap lebih tinggi, pelbagai usaha dilakukan sepanjang tempoh kemerdekaan itu.

Kata Abang Johari, ia melibatkan pembangunan infrastruktur yang mapan serta kestabilan ekonomi untuk memanfaatkan 2.8 juta rakyat di negeri ini.

Justeru, dalam memperingati Hari Sarawak, tema Sarawak Cemerlang dilihat signifikan dengan dasar serta sasaran Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030.

“Sarawak Cemerlang bermakna negeri Sarawak berjaya sebagai masyarakat dan ekonomi secara keseluruhan, tiada kemiskinan dan pemimpin serta rakyat memfokuskan kepada pembangunan, tambahnya.

Memandang daripada aspek integrasi nasional, ujarnya, Sarawak memiliki keunikannya yang tersendiri malah simbolik sambutan Hari Sarawak itu sendiri katanya membezakan negeri ini dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Semestinya warga Bumi Kenyalang berbangga dengan sambutan Hari Sarawak ini kerana ia membezakan negeri ini dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

“Keunikan ini harus sentiasa dikekalkan dalam kita mengejar aspirasi menjadi negeri maju menjelang 2030,” kata Abang Johari lagi.

Abang Johari berkata demikian dalam wawancara khas bersama Astro AWANI sempena Hari Sarawak 2020 di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Kuching.