Hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Selasa menyaksikan sebanyak 292,179 kenderaan diperiksa berbanding 188,804 pada hari sebelumnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menahan 26 individu atas kesalahan ingkar PKPB termasuk 25 daripada mereka direman sementara seorang lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

"Selain itu, PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 57 individu termasuk 17 daripadanya dikeluarkan di sekatan jalan raya.

"Pemeriksaan tersebut dibuat dalam 133 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pasukan petugas khas Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 75,791 pemeriksaan pada Selasa bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPB.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 7,902 operasi sanitasi merangkumi 133 zon setakat Selasa.

"Semalam (Selasa) sebanyak 85 operasi sanitasi dilakukan di 53 zon membabitkan 14 negeri antaranya Sarawak (17 operasi), Sabah dan Melaka masing-masing 11 operasi," katanya.