Kejadian seekor harimau mati dilanggar kenderaan yang didakwa berlaku di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) berhampiran Umbai sebenarnya palsu.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka pada Sabtu menafikan perkara tersebut yang mulai tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp sejak Jumaat.

Menurut pengarahnya Noor Zakiah Hanum, pihaknya kesal dengan sikap individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan perkara tersebut sehingga boleh menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai khususnya pengguna jalan raya.

Dalam mesej yang tular itu, orang ramai khususnya penduduk di Umbai diminta berhati-hati dengan kehadiran haiwan itu.

“Ini adalah maklumat palsu, gambar yang dipaparkan sebenarnya berlaku di Kilometer 321.2, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) hampir tiga tahun lalu dan pernah mendapat liputan media.

“Kita kesal dengan penyebaran maklumat palsu seperti ini, meskipun jabatan tiada sebarang peruntukan akta untuk mendakwa individu terbabit namun ada akta yang boleh mengekang dan mengambil tindakan terhadap penyebaran berita palsu ini kerana dianggap boleh menggugat keamanan misalnya di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran berita palsu seumpama itu dan dapat merujuk kepada Jabatan Perhilitan negeri terlebih dahulu sebelum sesuatu maklumat disebarkan.

Jelas Zakiah lagi, tahun lalu pihaknya pernah membuat penafian tentang penyebaran maklumat kemunculan seekor harimau belang yang didakwa berlaku di salah satu kawasan di Daerah Jasin, Melaka namun sebenarnya ia berlaku di sebuah kawasan di negara jiran, Indonesia.