Pendapatan lebih 60 penoreh getah terjejas ekoran tidak dapat keluar menoreh susulan dakwaan beberapa ekor harimau berkeliaran di Kampung Hulu, Batang Melaka, Jasin.

Selepas terserempak dengan haiwan berkenaan yang berkeliaran sekitar kampung itu, mereka bimbang untuk turun menoreh kerana takut dibaham.

Malah ada yang mendakwa pernah melihat dua ekor harimau berkeliaran di kebun miliknya.

Sejak daripada itu, seorang penduduk, Yusof Latif, 54, terserempak haiwan itu, langsung tidak turun menoreh.

"Ketika kejadian, saya sedang mengutip sekerap di kebun pada 8.30 pagi. Secara kebetulan saya terdengar bunyi riuh tidak jauh dalam 50 meter tetapi belum tidak nampak lagi. Apabila saya lihat dan pastikan betul-betul ia memang harimau, anggaran ketinggian paras pinggang saya," katanya kepada Astro AWANI.

Turut menyuarakan kebimbangan, Bahari Subuh, 52 tahun, yang terpaksa menoreh di pinggir kebun kerana khuatir ancaman si 'pak belang' itu.

Beliau yang masih mempunyai enam anak yang masih bersekolah terpaksa memberanikan diri kerana sumber pendapatan utamanya hanya menoreh.

"Pendapatan saya kalau nak dihitung RM600-RM700. Sebelum ini, saya rasa takut juga, tetapi memandangkan keadaan susah, terpaksa keluar menoreh. Tetapi saya menoreh tepi-tepi sahaja, celah hutan tidak lagi," katanya.


Sehubungan itu, penduduk kampung menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Melaka segera menambah perangkap bagi memastikan haiwan itu ditangkap.

Rabu lalu, Jabatan Perhilitan telah memasang sebuah sangkar yang berisi seekor kambing sebagai umpan untuk menangkap harimau tersebut namun sehingga kini masih tidak berhasil.

Pada masa sama penduduk memohon kerajaan negeri untuk memberikan bantuan bagi meringankan beban khusus kepada mereka yang tiada sumber pendapatan lain selain daripada menoreh getah.