Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil sesiapa sahaja pihak berkaitan bagi memberi kenyataan untuk membantu siasatan kes pembelian hartanah oleh Mara Inc Sdn Bhd (Mara Inc) di Melbourne, Australia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata individu yang akan dipanggil adalah mengikut keperluan siasatan, dan tidak semestinya bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Tambah Dzulkifli, sekiranya tiada keperluan individu berkenaan tidak akan dipanggil.

“Itu kita akan lihat keperluan siasatan. Sekiranya ada keperluan, kita akan panggil sesiapa sahaja dan tidak semestinya Datuk Shafie Apdal. Siasat saja (individu) yang boleh beri keterangan (atau) terlibat. Kita tengok dulu, kalau perlu kita panggil. Kalau tak perlu, kita tidak (panggil),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama barisan Exco di Pejabat Menteri Besar Johor di Iskandar Puteri, Johor.

Sebelum ini, Shafie Apdal ada menyatakan kesediaannya untuk disiasat SPRM berhubung isu pembelian sebuah hartanah oleh anak syarikat Mara Inc. di Melbourne.

"Saya terpanggil untuk memberi respons terhadap beberapa kenyataan yang sedang tular di media massa dan media sosial baru-baru ini yang mengaitkan nama saya, di mana pada ketika itu saya memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kes yang melibatkan Mara.

"Saya difahamkan kes ini masih lagi dalam siasatan pihak SPRM dan saya sedia memberi kerjasama pada bila-bila masa sekiranya pihak berkuasa memerlukan maklumat bagi membantu siasatan," ujar Shafie dalam satu kenyataan.

Terdahulu, seramai 24 saksi dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan.