Pembeli diingatkan supaya berhati-hati dalam membeli Al-Quran secara atas talian yang kini dilihat semakin meluas dijual pengedar menerusi laman sosial terutamanya Facebook.

Peringatan itu diutarakan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK), Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kedah, Zaki Mohamed, kerana pihaknya mendapati Al-Quran berserta terjemahan yang dijual secara atas talian itu tidak mempunyai kelulusan KDN.

Katanya, dalam kes terbaharu, pihaknya telah merampas sebanyak 178 naskah Al-Quran pelbagai saiz bernilai RM23,140 yang tidak ada kelulusan KDN di satu premis di Sungai Petani pada 12 tengah hari, 7 Februari lepas.

"Tujuan kita buat pengawalan ini sebenarnya kita nak jaga kesucian Al-Quran. Sebab kandungan ini kadang-kadang bila kita semak, ada terdapat beberapa kesalahan dari segi ayat, baris dan ada yang dia tulis rumi. Penggunaan huruf rumi dia adalah versi atas (tulisan) Jawi dan bawah rumi.

"Jadi itu yang tak boleh (rumi). Sebab memang ada fatwa daripada pihak Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penggunaan rumi dalam Al-Quran. (Semua kesalahan) ini memang ada dalam Al-Quran yang ada (dijual) di pasaran sekarang ini. Tapi kita lebih fokus kepada (pengeluar) yang tiada kelulusan," ujar Zaki.

Zaki berkata, kepentingan mendapatkan kelulusan KDN adalah untuk memastikan Al-Quran itu disemak terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya kesalahan kandungan termasuk daripada segi kesalahan ayat dan baris yang sekali gus boleh menyebabkan tersalah makna.

Ini kerana menerusi tulisan rumi, KDN bimbang sebutan yang lain membawa makna lain.

Sehubungan itu, Zaki momohon pembeli menyemak Al-Quran itu sama ada mempunyai cap dan hologram KDN atau sebaliknya sebelum membuat sebarang pembelian.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga membuat kawalan dan pemantauan pengedaran dan penjualan Al-Quran di pejabat pos di negeri ini dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam setiap hari.

Secara purata, antara 15,000 hingga 20,000 naskah Al-Quran yang dicetak dari Thailand dibawa masuk ke negara ini.

Justeru pihaknya akan menyemak dahulu kandungan Al-Quran itu sebelum ia diedar dan dijual di pasaran.