Pemimpin politik dan masyarakat perlu berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan mengenai penubuhan sekolah-sekolah agama ataupun sekolah vernakular.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kewujudan sekolah agama adalah selari dengan perlembagaan sekolah-sekolah vernakular.

“Kita tidak boleh terus kaitkan sekolah agama dengan Daish, dengan kumpulan pengganas apabila berlaku sesuatu insiden,” kata Mahdzir yang menyifatkan kenyataan seperti itu boleh mengancam perpaduan negara.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang menggesa kerajaan mengkaji semula dasar sekolah agama yang dibiayai kerajaan.

Ini kerana, dakwanya, sekolah agama mempunyai kecenderungan menghasilkan mereka yang mempunyai fahaman ekstremis Islam yang membawa ancaman terhadap perpaduan di negara ini.

Bagaimanapun, Dominic Lau telahpun meminta maaf setelah dikritik banyak pihak.

Mahdzir sebelum itu merasmikan program anak angkat pelajar-pelajar Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampung Keda Pasir Puteh, Tualak dekat Kuala Nerang, Kedah.

Seramai 63 pelajar Tahun 1 hingga 4 jurusan Farmasi university itu menyertai program dengan tinggal di rumah 23 keluarga angkat di kampung tersebut.