Pertubuhan pemuliharaan harimau The Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT) menyeru pengguna jalan raya agar memastikan keselamatan haiwan liar semasa mereka memandu untuk pulang ke kampung.

Ia berkata sikap seperti memandu melebihi had laju, mengekori dalam jarak dekat kenderaan lain dan memotong secara berbahaya boleh membawa kemalangan maut kepada haiwan-haiwan berkenaan.

"Jumlah kenderaan yang meningkat sebelum dan selepas musim perayaan boleh membawa kematian kepada sebarang spesies haiwan yang cuba menyeberang jalan atas sebab-sebab tertentu," kata MYCAT dalam kenyataan.

Ia mengulas kejadian semalam di mana seekor harimau bintang ditemui mati berdekatan Sungai Yu eco-viaduct di Merapoh, Pahang serta kematian seekor anak gajah minggu lalu akibat dilanggar kenderaan di Lebuhraya Gerik-Jeli di Gerik, Perak.

-- BERNAMA