Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa meminta semua pihak mendapatkan penjelasan lanjut berhubung proses ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Beliau berkata tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab menularkan isu tersebut dengan mendakwa ia akan menjejaskan kedudukan mana-mana kaum dan agama di negara ini dibimbangi akan mencetuskan perbalahan kaum.

"Ada pihak tidak bertanggungjawab telah menularkan berita kononnya implikasi ICERD kepada Malaysia boleh membawa kepada terhapusnya hak Bumiputera termasuk isu (Rejimen) Askar Melayu (Diraja) dan polis kononnya tidak boleh menggunakan perkataan Melayu kerana itu dikira sebagai diskriminasi.

"Saya tegaskan apa yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab itu boleh mengundang fitnah dan boleh timbulkan kebencian dan berpotensi jadi satu masalah perkauman," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen pada Isnin.

Justeru, Mujahid meminta pihak yang telah mengeluarkan kenyataan itu berjumpa dengan beliau untuk memahami proses ratifikasi itu yang tidak akan menjejaskan hak kaum di negara ini termasuk keistimewaan golongan Bumiputera.

Beliau turut menjelaskan bahawa dalam konteks negara ini, ratifikasi ICERD itu boleh dilakukan dengan beberapa reservasi serta mengambil kira perundangan dan perlembagaan negara.

BACA: Ratifikasi ICERD tidak akan beri kesan kepada Artikel 153 - Waytha Moorthy

Sementara itu, ketika ditanya harapan kementerian dalam Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan Jumaat ini, Mujahid berharap kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi pembangunan institusi tahfiz di negara ini selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara.

"Saya mengharapkan peruntukan kepada tahfiz, kerana kita ada Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dan kita ada banyak masalah untuk menyelaras tahfiz ini serta masalah lain yang timbul," katanya.

Beliau berkata menerusi peruntukan yang mencukupi, kementeriannya akan dapat melaksanakan dasar berkenaan dengan berkesan dalam melahirkan tahfiz yang mencapai standard antarabangsa dan dapat menyumbang kepada negara.

-- BERNAMA