Masalah kerosakan teknikal di bahagian enjin berkemungkinan menjadi punca kes kemalangan sebuah helikopter model 206B di kawasan hangar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dekat sini, pada pagi Khamis.

Pesawat yang dikendalikan seorang juruterbang pelatih itu telah terhempas dan terbakar.

Ketua Jurulatih Akademi Helikopter Layang-Layang, Kapten Sudhir AK Kumaren berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan faktor berkenaan namun siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan terbabit masih giat dijalankan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat Akademi Helikopter Layang-Layang Sdn Bhd, Tanjung Aru, di sini petang Khamis.

Dalam kejadian jam 11.55 pagi itu, Fatin Nadeera Jeffrey, 21, dikatakan menjalani latihan penerbangan solo di kawasan terbabit sebelum mengalami masalah teknikal sehingga mengakibatkannya terhempas dari ketinggian kira-kira empat meter.

Insiden itu turut menjadikan operasi rutin KKIA Terminal Satu dan Terminal Dua tergendala selama 15 minit sebelum diteruskan semula sebaik kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan lanjut di lokasi kemalangan dijalankan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Berdasarkan maklumat awal, Sudhir berkata, Fatin difahamkan sedang mengikuti latihan mengendalikan helikopter secara solo sebelum pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu.

Menurutnya, Fatin dipercayai baru sahaja berlepas dari hangar menuju ke perhentian yang terletak kira-kira 4 kilometer di akademi berkenaan sebelum kemalangan itu terjadi.

Sebaik berlakunya kemalangan itu, Fatin sempat keluar dari helikopter berkenaan dan berjalan kaki sebelum diselamatkan oleh beberapa orang pasukan penyelamat di situ.

Beliau turut menambah, nilai kerugian akibat kejadian itu beranggar RM7 juta selepas mengambil kira kerosakan helikopter yang musnah dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti sekiranya wujud unsur jenayah berlaku dalam kejadian terbabit.

Beliau berkata siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk mengenal pasti punca sebenar dan menyiasat jika ada berlakunya unsur jenayah yang menjadi punca kemalangan tersebut.