Henti salah guna imej OKU dalam media sosial

Henti salah guna imej OKU dalam media sosial
Jailani berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyiasat perkara berkenaan agar tindakan segera dapat diambil. - Gambar fail
KUALA BERANG: Perbuatan menyalahgunakan imej orang kelainan upaya (OKU) dalam laman sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk meraih simpati bagi mendapatkan derma daripada orang ramai, harus dihentikan segera.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata perbuatan itu juga akan mengelirukan orang ramai yang berhasrat untuk membantu pihak yang benar-benar memerlukan bantuan.

"Perkara ini haruslah dihentikan kerana kita tidak tahu sama ada urusan kutipan ini telah mendapat kebenaran atau tidak daripada pihak berwajib.
"Kita harap masyarakat luar sana menjadi lebih bertanggungjawab, prihatin dan tidak mengambil kesempatan terhadap OKU kerana dengan adanya isu begini mengurangkan keyakinan orang lain yang betul-betul ingin menderma dan ia bukanlah sesuatu yang baharu," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Parlimen Hulu Terengganu, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri Manir Yusof Awang Hitam.

Dianggarkan lebih 10,000 tetamu dari luar dan sekitar Hulu Terengganu hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyiasat perkara berkenaan agar tindakan segera dapat diambil.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan sedia membantu apabila diminta untuk membuat tindakan teknikal daripada JKM dan kementerian berwajib agar tiada sebarang cubaan eksploitasi terhadap golongan OKU berlaku dalam isu ini," katanya.

-- BERNAMA