Hentikan penularan gambar-gambar menyayat hati membabitkan seorang pelajar perempuan yang maut akibat terkena pisau traktor mesin pemotong rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Gemas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari melalui status di laman sosial Facebook berkata, penularan gambar bukan sahaja tidak menghormati mangsa malah turut menjejaskan emosi ahli keluarga yang sedang dalam kesedihan.

Jailani pada masa sama melahirkan rasa sedih dengan kejadian menimpa malah turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

Terdahulu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua maut manakala dua lagi pelajar lelaki cedera akibat terkena pisau traktor mesin rumput di padang sekolah terbabit.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Nur Afini Roslan, 14 tahun, manakala dua yang cedera ialah Abdullah Hazlan, pelajar Tingkatan Dua dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, pelajar Tingkatan Satu berusia 13 tahun.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung punca kejadian.