Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa semua pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) supaya mengentikan segala bentuk pertelingkahan serta perebutan kuasa.

Tegasnya yang juga merupakan Pengerusi PH, kekuatan kerajaan di bawah PH bergantung kepada perpaduan dan keutuhan ahlinya.

Justeru, semua pemimpin perlu mengenepikan atau tidak memberi tumpuan kepada perkara sampingan yang tiada nilai terhadap pembangunan atau hala tuju negara.

Beliau berkata, kuasa yang diamanahkan oleh rakyat adalah untuk memperbaiki segala ‘kerosakan’ terdahulu dan kelekaan dalam perebutan kuasa hanya akan menghilangkan keyakinan rakyat.

"Kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada kita adalah untuk memperbaiki apa yang telah rosak dan memperbetul apa yang salah. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

"Kita juga perlu tanya diri kita, apakah kita terus mendapat mandat rakyat jika mereka terus melihat kita berterusan bertelagah kerana berebut kuasa? Tanpa sedar, kita berebut itulah, kita akan hilang kuasa," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR di sini malam ini.

Turut hadir, majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut berkata beliau mengakui sasaran Wawasan 2020 yang diilhamkan olehnya sewaktu menjadi perdana menteri ke-4 dahulu sudah tersasar.

Justeru, jelasnya, kerajaan mula memikirkan mengenai wawasan baharu yang boleh membawa negara dan rakyat kepada satu tahap kehidupan yang lebih baik.

Ia bagaimanapun memerlukan anjakan paradigma dan beliau berasa perlu untuk memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama bagi mewujudkan rakyat yang bersatu tanpa prasangka.

Ujarnya, definisi wawasan kemakmuran bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus-menerus membangun secara mampan.

Ia seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang tahun 2030